Monday, May 26, 2008

Selangor antara yang pertama hantar bantuan ke China

Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Mon | May 26, 08 | 11:12:49 am MYT


SEPANG, 26 Mei (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor di antara yang pertama menghantar misi kemanusiaan ke negara China yang dilanda gempa bumi pada 12 Mei lalu.

Image Sehingga kini angka kematian rakyat negara itu mencecah 62,664 orang akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda kawasan utara Chengdu.

Manakala seramai 23,775 mangsa masih lagi hilang, sebagaimana yang diumumkan kerajaan Republik China itu.

Atas sifat kemanusiaan, Kerajaan Selangor telah menghantar sekumpulan perubatan yang terdiri daripada enam orang doktor, lima orang paramedik, dua logistik, dan tiga orang pembantu perubatan.

Seramai 16 orang petugas pasukan perubatan yang mempunyai pengalaman dalam misi seperti itu bertolak pada 25 Mei dan dijangka pulang pada 30 Mei ini.

Pasukan perubatan itu diketuai oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hussin Ismail. Turut mengikuti misi itu jurugambar Harakah Wan Zahari Wan Salleh.

Beberapa NGO turut menyertai pasukan itu termasuklah Wirda, Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan), Kelab Motor, dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

Menurut Hussin ketika ditemui di KLIA, misi itu adalah misi kali pertama yang membawa khidmat dan bahan perubatan memandangkan mereka masih di peringkat awal untuk menghadapi keadaan dan apa yang diperlukan oleh mangsa bencana.

Image"Misi ini juga sebagai 'tinjauan' pertama kita bagi melancarkan misi seterusnya pada awal Jun depan, oleh kerana buat masa ini kerajaan China amat memerlukan perubatan jadi kami dahulukan apa yang diperlukan mereka," katanya.

Tambahnya, pengalaman di Acheh tahun lalu sedikit sebanyak akan memudahkan mereka untuk memberi khidmat perubatan kepada rakyat Republik itu.

Katanya, hampir 12 hari menunggu keputusan daripada kerajaan China untuk membenarkan mereka memasuki negara itu.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja pulang dari China mereka akan berangkat pula ke Mynamar bagi memberi khidmat perubatan serta membawa barang keperluan kepada mangsa Taufan Narjis.

Turut mengiringi misi itu serta memberi kata-kata semangat sebelum berangkat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut menasihatkan anggota misi itu supaya bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman bagi merapatkan hubungan masyarakat China dengan Malaysia.

"Gunakan pengalaman yang ada untuk memberi bantuan kepada rakyat China dan ambilah peluang ini untuk menonjolkan nama Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, jurugambar Harakah yang menghubungi di sini sebaik sahaja tiba di Guangzhoa selepas empat jam berlepas dari KLIA pada 9.30 pagi, dan tiba di Chengdu pada jam 7.20 malam memberitahu cuaca mendung dan berkabus mencecah 24 darjah celcius akan berterusan sehingga Jumaat ini.

Sebanyak 69 empangan yang retak dalam gempa bumi di barat daya China dua minggu lalu kini menghadapi bahaya akan pecah.

Tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi pada 12 Mei lalu juga menyebabkan laluan sungai tersekat dan mewujudkan puluhan 'tasik gempa.' - mns

Monday, May 19, 2008

Mujahid-mujahid N-23 tetap di depan...

Salam..

Barisan hadapan Ijtima PAS Selangor 2008 dipenuhi sebahagian para mujahid MTD dan MPD Dusun Tua. Semoga semangat ini akan terus hidup dan subur. Inilah komitmen warga pejuang DUN Dusun Tua, sama ada sebelum menang atau sesudahnya. Walaupun belum diizinkan kemenangan persiapan ke arah kemenangan akan tetap disuburkan.

Insya Allah jentera PAS di N-23 baik Pemuda, Muslimah dan tenaga seniornya akan turun berjuang dengan jentera lebih tersusun dan terbaik PRU akan datang.

Doakan kami semua untuk memimpin perubahan.




sebahagian wajah-wajah warga DUN Dusun Tua yang kebanyakkannya di barisan hadapan..

Pengarah MTD.. Ketua Majlis Pemuda DUN.. dan panglima-panglima kanan yang lain...

Tuesday, May 13, 2008

MASALAH BERKAITAN MUZIK

MASALAH BERKAITAN MUZIK

Soalan :

Apakah hukum mendengar muzik tanpa nyanyian (instrumental / minus one) dimana tiada apa-apa senikata didalamnya. Ini bermakna muzik instrumental ini tidak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan yang berunsur tahyul atau pemujaan atau memuja muja wanita dan sebagainya.

Jawapan;

Alat-alat bunyian atau muzik sama ada mengguna atau mendengarnya, terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Jumhur (majoriti) ulamak silam –termasuklah ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang). Mereka berdalil antaranya dengan hadis Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Akan ada di kalangan umatku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. Dalam riwayat yang lain (baginda bersabda);

“Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….”

(Riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya. Adapun secara khusus dengan menyebut alat-alat muzik, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut mazhab Syafi’ie;

“Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”.

(Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Selain itu dalil-dalil di atas, mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) juga telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulamak mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya.

Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu ‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya. Imam ar-Ruyani menaqalkan dari al-Qaffal bahawa; mengikut mazhab Imam Malik nyanyian dengan alat-alat muzik adalah harus.

Hujah mereka ialah;

tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut. Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi), ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik.

Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulamak bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh.

Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulamak semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik.

Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 8, bab Ma Ja-a Fi Alati al-Lahwi, hlm. 96-105.
Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhwi.
Al-Kalimu at-Thayyib, Dr. Ali Jumaah.
Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib asy-Syirbini.

Sunday, May 11, 2008

Selangor akan dijadikan 'Hab llmuan'

Saidah Hairan Foto Nasir Sudin
Sun May 11, 08 5:02:38 pm MYT
KLANG, 12 Mei (Hrkh) - Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali sedang merancang projek 'Jejak Ilmuan Selangor' yang akan dilaksanakan dalam bulan Jun nanti.




Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat akan berusaha untuk menjadi Selangor sebagai 'Hab Ilmuan' iaitu pusat tokoh-tokoh ilmuan.


"Kita tahu institut pengajian tinggi (IPT) terbaik, terbanyak, terkini ada di Selangor tetapi ia masih tidak diperkasakan," katanya ketika ditemui di Pejabat Adun, Selat Kelang, baru-baru ini.


Beliau kesal kerana tokoh keilmuan yang boleh dijadikan role model tidak diiktiraf oleh masyarakat Selangor sebaliknya mereka lebih mengkagumi artis dan pengiat seni. Katanya, dalam bulan Jun nanti kerajaan akan mengumpulkan semua tokoh ilmu bagi mengiktiraf nilai sumbangan mereka dan memperkasakan mereka.


Tambah Dr Halimah, untuk jangka masa panjang kerajaan Selangor berhasrat melahirkan ilmuan baru dengan memperkenalkan bakal-bakal ilmuan di kalangan para pelajar terpilih. "Sekarang kita hendak jadikan Selangor seumpama 'magnet' supaya tokoh-tokoh keilmuan ini kembali semula ke Selangor," katanya.


Dalam pada itu beliau berbangga dengan pencapaian Universiti Industri Selangor (Unisel) yang baru-baru ini telah mendapat 'international award' dalam pertandingan satelit yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.


Katanya, mereka mampu mencipta perahu daripada simen yang terapung dan ia boleh digunakan untuk membina rumah pasang siap. Kosnya pula lebih murah dan ia turut boleh dikomersialkan. Ikuti temuramah lanjut dengan Dr Halimah dalam keluaran Harakah akan datang.

Thursday, May 8, 2008

Apabila sifu bertemu sifu



Tok Guru al Mursyidul Am PAS dan Yb. Ketua Pemuda PAS Pusat di Restoran Cheng Ho Milik Amy Search .


Amy dan isteri ( Norish ) sewaktu mengerjakan umrah di Tanah Suci .

Negara rugi RM140 bilion dalam tempoh dua bulan

- Salahuddin Ayub

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kejatuhan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semenjak awal tahun ini sehingga mencecah kemerosotan melebihi 200 mata.

Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily berpendapat faktor utama kejatuhan saham di BSKL ini adalah berpunca daripada ketidakyakinan para pelabur ekoran kedudukan kerajaan yang tidak stabil selepas pilihan raya umum ke-12.



"Selain faktor kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga, isu yang lebih besar daripada itu adalah ketidakyakinan ahli-ahli Umno terhadap kepemimpinan Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Menurutnya, semenjak 9 Mac lalu ahli-ahli Umno di pelbagai peringkat mengkritik secara terbuka kepemimpinan Abdullah malah sebahagian besar daripadanya mendesak supaya Presiden Umno itu berundur daripada jawatan Perdana Menteri yang sedang disandang.

"Pergolakan ini kemudian memberi kesan yang lebih teruk kepada keyakinan pelabur apabila dasar-dasar kerajaan BN yang tidak demokratik dikenakan ke atas negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

"Pada masa yang sama rakyat dan pelabur sudah berasa jelek dengan kegagalan kerajaan BN dalam mewujudkan integriti dan kebebasan apabila peningkatan indeks rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sudah menyamai peningkatan inflasi yang sedang melanda hari ini," katanya lagi.

Tegasnya,implikasi hal tersebut mengakibatkan indeks BSKL telah menerima kesan yang parah dan mula mengalami kejatuhan mendadak dan besar dalam tempoh yang singkat.

Januari lalu, BSKL mencatat 1,445 mata, tetapi telah merosot kepada 1,227 mata pada April lalu.

Para penganalisis saham mengatakan nilai bagi satu mata di BSKL mewakili kira-kira RM770 juta. "Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan, negara telah kerugian besar sekitar RM140 bilion," ujarnya.

Pemuda PAS ujarnya, melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan BN cuba menyembunyikan fakta mengenai kejatuhan saham ini dengan menggunakan dana-dana awam yang dipaksa untuk menyuntik semula dana bagi memulihkan BSKL.

"Ketika negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1998 dahulu, berbilion wang rakyat telah disalahgunakan untuk membail-out syarikat-syarikat kroni bagi mengelakkan mereka bankrap.

"Dan tidak mustahil jika dana-dana awam seperti KWSP, LUTH, KWSG, PNB dan sebagainya akan dipaksa untuk 'menjaga imej' BN dengan menyuntik berbilion wang ke BSKL," jelasnya lagi.

Tambahnya, Pemuda PAS tidak melihat cara yang paling efektif untuk memulihkan BSKL melainkan kerajaan BN mengundurkan diri dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Pakatan Rakyat.

"Abdullah mesti meletakkan jawatan dengan segera untuk membolehkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti ditubuhkan bagi membina semula keyakinan rakyat dan pelabur," demikian ujarnya.

Dengan keyakinan ini, beliau percaya indeks BSKL dapat dipertingkatkan semula dan kerugian tersebut dapat diatasi dengan segera. - mks.

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Baru dua bulan memerintah Pakatan Rakyat Selangor tunai janji

Saidah Hairan | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Thu | May 08, 08 | 2:31:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kepimpinan BN negeri dan Pusat perlu mengambil ikhtibar terhadap kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat yang berjaya menunaikan janji memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan walaupun baru dua bulan memerintah.



Bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan pada 1 Jun sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun usaha kerajaan Pakatan Rakyat bagi merealisasikan konsep negara berkebajikan ini cuba dipolitikkan parti pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan negeri gagal merealisasikan janji-janji manifesto pilihan raya lalu, walaupun pada hakikatnya Pakatan Rakyat baru memerintah Selangor selama dua bulan.

Dakwaan itu dibuat berikutan keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan pengurangan bayaran cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan premis komersial 10 peratus.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, pemberian air percuma 20 meter padu pertama itu membuktikan tindakan segera dan serius kerajaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan tawaran yang dijanjikan dalam manifesto.

Beliau yakin kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan janji-janji pilihan raya secara berperingkat.

Katanya, adalah mustahil untuk kerajaan baru melakukan perubahan secara drastik kerana setiap keputusan yang diambil perlu melalui kajian dan mematuhi peraturan sedia ada.



"Jika rakyat Selangor boleh bertahan dan bersabar berada di bawah pemerintahan BN selama 50 tahun mengapa tidak boleh menunggu sedikit masa untuk menanti perubahan yang bakal dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut beliau, adalah mustahil untuk janji-janji manifesto pilihan raya dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sedangkan sidang DUN masih belum berlangsung.

"Baru 60 hari Pakatan Rakyat memerintah, sebahagian janji pilihan raya telah pun dipenuhi, saya yakin BN sendiri tidak mampu melaksanakannya," tegas Sallehen.

Sallehen yang juga bekas calon PAS DUN Sabak berkata, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika hari pertama dilantik PM berjanji untuk menghapuskan rasuah, tetapi setelah dua penggal menerajui kerajaan janji itu belum terlaksana.- tajdid


Setujukah anda apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia menilai/mengatakan Kerajaan (Pakatan Rakyat) Selangor gagal? Dalam 1 1/2 bulan memerintah berbanding 50 tahun pemerintahan BN?

Wednesday, May 7, 2008

Kerajaan Selangor hulur RM1 juta bantu mangsa taufan di Myanmar

Saidah Hairan Wed May 07, 08 10:22:28 pm MYT

SHAH ALAM, 7 Mei (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan terus kepada mangsa Taufan Nargis di Delta Irrawaddy, Myanmar. Pengumuman itu dimaklumkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas selesai mengadakan Mesyuarat Exco Mingguan, di Bangunan SUK, di sini, petang tadi.

Menurut beliau, atas keperihatian penderitaan yang dilalui oleh rakyat Mynmar akibat tragedi itu Exco Kerajaan Negeri yang bermesyuarat petang tadi telah memutuskan akan membantu kewangan dengan jumlah tersebut. Terdahulu angka korban terbaru Taufan Nargis hampir mencecah 22,000 orang, manakala 41,000 lagi dikhuatiri hilang.

Stesen televisyen Myanmar melaporkan sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 21,793 orang terkorban dan 40,695 yang lain masih hilang di wilayah Irrawaddy. Sementara itu, turut serta dalam sidang media, exco Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail; exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan exco Pelaburan, Perindustiran dan Perdagangan, Teresa Kok. Menurut Rodziah wang berjumlah RM1 juta itu akan diamanahkan kepada Yayasan Amal Malaysia untuk disampaikan kepada mangsa Taufan Nargis. Katanya, anggota Yayasan Amal akan pergi ke Mynmar bukan saja membawa bantuan kewangan tetapi turut menghulurkan tenaga dan sebagainya.

Beliau mengalu-alukan kesediaan dan keperihatian rakyat Malaysia supaya turut memberi bantuan kewangan, pakaian dan sebagainya. Sementara itu, Dr Halimah menjelaskan, kerajaan Negeri memilih Yayasan Amal Malaysia kerana pertubuhan itu mempunyai pengalaman yang banyak dan luas berhubung memberi bantuan kepada orang ramai dalam dan luar negara. Katanya, Yayasan Amal Malaysia telah melakukan bantuan ke Aceh ketika dilanda Tsunami, Yogjakarta, Sri Langka, Labenon dan sebagainya.

"Yayasan Amal juga mempunyai biro lain termasuk unit perubatan dan keselamatan, mereka biasa ke tempat-tempat yang dilanda malapetaka," katanya. Menurut beliau, orang ramai boleh menghulurkan bantuan berbentuk kewangan dan pakaian terus ke Ibu Pejabat di Batu Caves dan SUK.


Beliau berkata, anggota Yayasan Amal akan berlepas ke Mynmar dalam masa dua hari dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan wang yang dibawa oleh anggota tersebut kerana mereka akan terus menyalurkan derma kepada mangsa tanpa melalui orang tengah. - mks.

Sekitar kejohanan Bolasepak 9 sebelah Piala Ahli Parlimen PAS Hulu Langat

Pasukan 'Pakatan Rakyat Muda' DUN Dusun Tua, gabungan sahabat-sahabat dari Pemuda PAS dan Angkatan Muda PKR diketuai Kekanda Sufian.

Belum diizinkan layak ke pusingan seterusnya, sekadar tewas dengan penentuan wang syiling setelah terikat seri 0 - 0 dengan pasukan D' Putra dan penalti 3-3.

Percubaan terbaik, insya Allah akan terus komited mencuba lagi. Tunggu tahun depan!

Juga sahabat MPD, pasukan yang tidak kurang hebat, semi finalis JEBAT DT (Dusun Tua)
yang mempamerkan persembahan menarik sepanjang perlawanan mereka. Tahniah barisan muda Kg Dusun Tua! walau tidak berkesempatan juga layak ke perlawanan akhir dan sayang ditewaskan kehebatan duit syiling pengadil perlawanan.




langkah ala John Terry... made in Dusun Tua

Sahabat MPD dari Dewan Pemuda PAS Hulu Langat pimpinan Sdr. Borhan...


Dari kalangan penyambung perjuangan...

Inilah wajah-wajah yang insya Allah diharapkan dapat meneruskan perjuangan memartabatkan kebenaran, kebajikan dan keadilan di DUN Dusun Tua serta Parlimen Hulu Langat khususnya dan di muka bumi Allah ini amnya.

Kewajipan musyawarah ditunaikan, perbincangan disuburkan, ukkhuwah persaudaraan diperteguhkan bagi menghidupkan semangat dan pasukan pejuang termantap adanya sesuai menghadapi tentangan kian mencabar tiap zaman mendatang. Janji Allah memberi ganjaran sesuai ujian yang ditempuhi para hamba-Nya.
Majlis Pemuda DUN dibugarkan semula buat menjadi tulang belakang mengisi kemenangan istimewa dan menarik PRU-12. Merencana dan menyusun perancangan sebaiknya buat pengisian sahabat-sababat dan teman-teman pemuda yang tidak akan kami lupakan kalian.






Salam pembukaan

Blog Majlis Pemuda DUN N-23 Dusun Tua (MPD) ini adalah salah satu mata rantai ruangan maklumat, komentar dan diari aktiviti perjuangan dan gerak kerja amal Islami terutamanya di kalangan pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS DUN Dusun Tua yang insya Allah akan sentiasa bersama dalam apa jua arus khususnya dalam bersama-sama membawa Islam ke mercunya.

Semoga Blog ini akan memberikan kebaikan kepada seisinya.

Kepada-Mu Ya Allah, kami memohon petunjuknya, suluhlah jalan kami hingga menerangi dan menampakkan pada kami apa itu yang hak dan apa itu kebatilan supaya yang baik kami ikuti dan yang buruk kami jauhi.